Jurang Laut Biruku

Selamat datang ke dasar laut biruku. Pastikan anda memakai sut ADS (Atmospheric Diving System) sebelum memulakan eksplorasi. Pastikan juga submersibles anda sudah diselenggara dengan baik. Ayuh kita menyelam!

Friday, April 9, 2010

Sinopsis Dan Ulasan.


Sinopsis:

Mat, Dol dan Din penduduk Kampung Seberang yang masih belajar. Melepak adalah kegemaran mereka. Tidak, bukan di pusat membeli-belah. Bukankah mereka budak kampung? Bagi memastikan aktiviti melepak mereka berjalan lancar tanpa gangguan, mereka membina rumah di atas pokok. Idea itu datang daripada Mat. Manakala Dol yang berpengalaman membina tandas bercat merah jambu adalah arkitek utamanya.

Azhar pula pelajar University Of Queensland yang pulang tanpa ijazah kerana hatinya terluka. Mereka bertemu. Bercerita berkenaan seni bina, bekerja sebagai penunggu durian dan pembina tandas penduduk kampung.

Tetapi di Kampung Seberang, bukan ada mereka sahaja. Adat di kampung, tentu ada golongan antagonis. Di sinilah Lan Tokak, Meli Boy dan Jan Jebeh berperanan.

Kisah di Kampung Seberang hanya kisah biasa. Kisah cita-cita, harapan, kehidupan dan keinsafan.

Petikan ulasan paling ringkas 'Arkitek Kampung Seberang' oleh saudara Wave Rider dari forum Pergh.com.

"Semangat kampung yang menyeronokkan. Bayangkan drama Melayu yang dilakonkan oleh Bagio Damasutra berjumpa dengan Achong Sweet Child. Kemudian anda semua mungkin mampu menggambarkan, (hahaha!) telatah kutu-kutu kampung. Novel oleh Nurie kita... ARKITEK KAMPUNG SEBERANG. Ada kelas! Ditambah lagi dengan watak-watak seperti Pak Noh Kilat (hahahahaha!), Pak Man Belon dan Meli Boy, protagonis kepada Mat, Dol dan Aza." - Wave Rider.

Petikan sinopsis dan ulasan novel Parameter Aquila (2009) dari blog Ain Ya Nun Alif.

"Ini kali keempat saya membaca buku jenis sains fiksyen. Dahulu, cubaan pertama, gagal (juga terbitan PTS). Kemudian saya mencuba Galaksi Muhsinin dan Transgenesis. Terkini, saya baru selesai membaca buku ini. Ternyata amat menarik minat saya!

Parameter Aquila mengisahkan sekumpulan anak-anak terbiar yang diambil oleh Tuan Goldox dan dijaga serta akhirnya diambil bekerja dengannya. Namun, mereka ini umpama keluar dari mulut buaya masuk ke mulut harimau. Tuan Goldox seorang yang gilakan kekayaan dan kerjanya mengarahkan kumpulan-kumpulan pekerjanya mencarigali emas.

M-Force yang dianggotai oleh Normen, Edvina, Shane dan Tansa ditugaskan untuk mencari emas di dasar lautan Aquila. Laut Aquila diketahui mempunyai jurang laut yang paling dalam. Pemilihan untuk mengetuai misi tersebut dilakukan secara undian oleh Tuan Goldox sendiri. Di antara 26 buah pasukan yang ada (A-Force sehingga Z-Force), kumpulan mereka yang terpilih.

Mahu tidak mahu mereka terpaksa mengikuti latihan simulasi dan mendapat taklimat akan penggunaan submersible. Kemudian, mereka akan menjalani latihan praktikal di Laut Pyxis. Sebuah makmal dibina khas bagi kemudahan mereka di laut dalam itu. 



xxxxxxx
xxxxxxxxxxxxxxx
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Apa yang diperkatakan oleh makhluk itu? Normen tidak mendedahkan perkara itu kerana bimbang diejek oleh rakan-rakannya. Ternyata, ketika dia mengambil keputusan menceritakannya kepada Edvina, dia diketawakan dan tidak dipercayai.

Setelah tamat latihan di Laut Pyxis, mereka ke medan sebenar di Laut Aqulia. Entah mengapa Tuan Goldox menghantar pasukan Z-Force bagi membantu mereka. Perkara ini menimbulkan kemarahan kumpulan M-Force. Seperti yang sering berlaku, apabila ada dua ketua maka berlakulah banyak masalah. Namun, mereka sebenarnya menghadapi masalah dengan ahli kumpulan Z-Force. Z-Force yang diketuai oleh Natalya hanya mempunyai 3 ahli pasukan. Dua orang lagi ialah Brat dan Egel.

Kelakuan Brat dan Egel agak ketara ganjil. Malah mereka sering mewujudkan provokasi dan menimbulkan kemarahan Normen. Sehinggalah satu hari terjadinya pergaduhan besar antara mereka semua. Rahsia besar M-Force ketika di Laut Pyxis terbongkar. Tidak disangka oleh ahli M-Force bahawa ada antara mereka yang membocorkan rahsia.

xxxxxxxxxx

xxxxxxxxxxxxxxxxxx
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Kedua ahli pasukan yang khianat itu hilang di dalam jurang yang dalam. Pasukan M-Force merahsiakan kejadian itu dan melarikan diri. Mereka diburu oleh pihak Tuan Goldox sehingga bersembunyi di sebuah rumah penduduk tempatan.

Tanpa disangka, tuan rumah yang mereka tumpangi itu ada kaitannya dengan Tuan Goldox. Anak perempuannya juga menyerupai wanita misteri yang dijumpai oleh Normen di dasar laut dahulu. Siapakah mereka sebenarnya?

Cerita ini saya gambarkan seperti cerita luar negara dengan pelbagai kelengkapan yang canggih. Plot ceritanya juga menunjukkan suasana yang cukup maju dan moden. Ceritanya menarik walaupun saya kurang gemar adanya cerita seperti bahagian Natalya dikhianati oleh dua orang ahli pasukannya. Syabas kepada penulis!" - AdH.

(Nota entri : Sebahagian ayat dalam review di atas terpaksa ditanda dengan xxxxxxxxx bagi mengelak spoil pada jalan cerita.)



Petikan sinopsis dan ulasan pertama novel Gitar & Lolipop (2008) dari blog klasik PTS-One

"Melihat kulit novelnya, sudah terbayang cerita anak muda yang gilakan muzik. Namun, apabila membaca tajuknya pula, pelbagai persoalan terbayang. Apa kaitan gitar dan lolipop? Selalunya gitar dikaitkan dengan lelaki, manakala lolipop dikaitkan dengan kanak-kanak ataupun perempuan.

Wujud suatu pertentangan di sini. Namun pertentangan ini digabungkan menjadi tajuk novel terbaru Nuriazam Ismail. Menariknya novel ini, ia menceritakan anak remaja yang bermain muzik tetapi pada masa sama terikat dengan tangungjawab sebagai pelajar dan keluarga.

Antara babak yang terkesan dalam hati saya, apabila watak utama mendengar lagu ciptaan sendiri dimainkan oleh kumpulan muzik terkenal. Sayangnya, lagu itu sebenarnya diplagiat tanpa izinnya. Jangan terkejut, cerita ini diakhiri dengan satu plot yang membuatkan anda termenung. Tidak tahu sama ada anda patut gembira ataupun sedih. Sesuatu yang jarang berlaku dalam penulisan moden. Anda patut rasai pengalaman membaca plot seperti ini.

Apa pula kaitannya dengan Lolipop? Cukuplah saya beritahu, selepas membaca novel ini, apabila saya terlihat budak perempuan makan gula-gula itu, pasti teringat Liz Lolipop.

Melihat pertembungan konflik dari cerita ini, novel ini boleh dianggap sebagai novel yang disenangi pembaca perempuan dan lelaki."

Petikan sinopsis dan ulasan kedua novel Gitar & Lolipop (2008) dari blog aininaufal.multiply.com.

"Ada satu perkara yang perlu difahami oleh pembaca novel ini. Bahawa pengarangnya adalah seorang pelukis dan mungkin pada masa yang sama adalah seorang pemuzik (bukannya artis!) Apabila membacanya, saya terus menangkap jiwa seni yang dimasukkan oleh penulis ini. Zuq membaca dan magnetnya terus menangkap saya untuk membaca dalam satu malam sahaja. Mungkin kerana asas muzik itu ada dalam jiwa saya, maka mudah untuk terperangkap secara sederhana meskipun belum betul-betul tenggelam.

Tema novel ini simple - muzik! Tapi interpretasi yang diberikan oleh penulis ini memang menarik. Bermula dengan Raimy atau Ray yang baru menjejakkan kaki ke bangku STPM tetapi mempunyai semangat dan iltizam yang tinggi untuk menjadi seorang pemuzik. Lantaran memerlukan sedikit duit, Raimy mencari kerja sebagai seorang guru muzik. Gagal yang pertama, bukan beerti gagal selamanya, itu yang cuba disampaikan oleh penulis hingga Raimy diterima masuk sebagai seorang tenaga pengajar di pusat muzik From Dusk Till Dawn (Macam nama filem Vampire?). Memang bukan mudah sebenarnya menjadi seorang guru muzik." - Ainin Naufal


Petikan sinopsis dan ulasan novel Sindrom VX (2007) dari blog Warisjagat.
"Saya baru sahaja selesai membaca buku sai fai terbitan PTS-One/Teen berjudul Sindrom VX. Saya rasa ini adalah karya sulung Nuriazam Ismail (Nurie buat sesiapa yang pernah baca Umbra pioneer seperti saya) kalau saya tidak silap. Jika benar ini adalah karya sulung beliau, maka saya secara rasminya cemburu dengan kehebatan Sindrom VX. Saya telah menjadi murung buat beberapa jam sebaik sahaja sampai ke bahagian pertengahan novel ini. Ya, Sindrom VX sehebat itu.
Sindrom VX mengisahkan wabak penyakit misteri (yang digelar Sindrom VX) yang menyerang penduduk wilayah Nuvia di Planet Kapri. Misteri timbul apabila para saintis gagal menemui punca kepada wabak ini serta sikap acuh tak acuh pihak pentabiran Nuvia mengatasi wabak ini. Apabila mendapat tahu yang serum untuk merawat Sindrom VX boleh diperolehi di sebuah planet misteri bernama Gonea, Ariana dan Eugenie (seekor robot humanoid) menjalankan misteri rahsia ke Planet Gonea. Dalam perjalanan ke Planet Gonea mereka berdua bertemu dengan Rizo dan Harry yang kemudiannya turut serta bersama mereka meneruskan misi ke Gonea.
Sindrom VX ialah sebuah sai fai action adventure, yang mempunyai adegan aksi paling panjang dan tidak henti-henti pernah saya baca. Cerita diselangi dengan interaksi antara karakter yang menarik serta lucu dengan bahasa yang mudah. Diselit juga subplot berkenaan penduduk Nuvia dan karakter-karakter lain. Subplot tentang Eugenie dan Rob antara yang menghiburkan saya. Semuanya seperti sebuah filem sai fai 60-an yang cheesy (in a good way).
Kekuatan Sindrom VX ialah pada perkembangan karakter terutamanya Rizo. Selain itu, elemen sai fai yang disertai adegan aksi dan tidak lupa konspirasi juga membuat Sindrom VX sangat kuat dan solid. Saya ucapkan tahniah kepada saudara Nuriazam Ismail kerana percubaan yang benar-benar berjaya memecahkan otak saya. Hal ini membuatkan saya benar-benar sakit hati!" - Warisjagat.



Petikan sinopsis dan ulasan komik Misi Aurora (2006) dari blog Kubu Buku oleh Fadli Akiti.

Sinopsis:

Kehilangan cip berkeupayaan tinggi Fotonoid F-69 menggemparkan seluruh seksyen S-28. Dr. Fernandez yang merupakan pencipta cip itu, dituduh mencuri. Keadaan bertambah kelam-kabut apabila cip yang hilang itu musnah dan tenaganya berpindah kepada bayi dalam kandungan isteri Dr. Fernandez, Vanessa. Sebaik sahaja bayi itu dilahirkan, bayi itu kemudiannya diculik dan dibawa lari ke Planet Geitan yang dihuni oleh makhluk mutant. Adenal dan Jason membantu Nicol mencari semula adiknya itu.

Rasa:

"Saya terhibur membaca buku kecil komik ini, hasil nukilan dan lakar Nuriazam Ismail. Tercuit membaca buku yang walaupun klise tajuknya (misi-misi-misi sudah biasa dalam genre sci-fi Melayu). Paling baik, Nuriazam mempunyai cara yang baik mengaitkan satu adegan dengan satu adegan yang lain, bagaimana persoalan dirungkai dan bagaimana akhirnya Nicol dapat mengembalikan adiknya pada ibunya.
Penuh saspens dan keseronokan, walaupun mungkin agak terus-terang dalam memaparkan, yang jahat selalunya berbentuk makhluk asing dan pelik (biasa dalam komik-komik superheroes, seperti puak jahat Joker, Penguin, Dr. Doom, Scarecrow, Magog dan pelbagai). Ada beberapa babak yang dibiarkan "terabai" (bayi itu dipanggil bayi aurora, bagaimana Zoid boleh kerja di Hangar dan tidak diketahui orang dalam makmal nuklear S-28), tetapi mungkin supaya buku komik ini dapat disambungkan pada masa hadapan.

Satu cerita sci-fi yang ada perbaharuan. Walaupun dialognya kadang-kadang agak terbuat-buat, mempunyai gaya dan keseronokan 'menjadi kanak-kanak kembali' yang tersendiri." - Fadli Al-Akiti.



Gambar dicilok dari blog klasik PTS-0ne : Serbegeth 'Shebby' Singh, jurulatih pasukan bolasepak My Team dengan novel Kaki Bola.


Sinopsis Kaki Bola (2006). Dipetik dari Portal PTS.

Danish, pelajar tingkatan satu yang berbadan agak gempal. Minatnya yang terlalu mendalam dalam sukan bolasepak menyebabkan dia begitu fanatik berkenaan sukan itu, apatah lagi pada idolanya, Bady. Danish mempunyai kepandaian bagi mencipta skill dan strategi dalam satu-satu perlawanan. Malangnya, dia tidak pandai bermain bolasepak sehingga dia digelar kaki bangku. Namun begitu, bermula selepas dia tinggal di asrama, dia mendapat galakan daripada teman-teman sehingga akhirnya dia berjaya membuktikan yang cita-citanya selama ini bukanlah angan-angan.

Monday, March 22, 2010

Novel-novel

------------------------------------------------------------------------
> Bagi membaca entri terbaru, sila klik Newer Post di bahagian paling bawah.

> Untuk pengetahuan pelawat-pelawat budiman, blog ini hanya bertindak sebagai platform pameran buku-buku sahaja dan bukan sebuah jurnal peribadi atau diari seperti blog-blog lain. Dengan sebab itu juga saya hanya akan memperbaharui entri di sini selepas sesebuah buku itu diterbitkan. Konsep minimalist juga sengaja diaplikasikan supaya motifnya lebih terfokus. Walau bagaimanapun, saudara/saudari boleh memberi sebarang komen kerana saya sentiasa hadir di laman ini untuk membaca lantas memberi respons. Sekiranya sudara/saudari mahu berhubung dengan cara lebih efisien, sila ke laman Facebook saya. Hanya taipkan Nuriazam Ismail untuk carian. Terima kasih tidak terhingga kepada pembaca sekelian. 
------------------------------------------------------------------------



Novel baru? Hakikatnya, manuskrip cerita A Untuk.... ini dihantar pada November 2009 kepada Cik Shiela PTS Pro. Mungkin disebabkan tersalah jadual, maka penerbitan buku ini terpaksa ditunda ke Februari 2010, kemudian ditunda lagi ke bulan Mac 2010. Boleh jadi juga printer rosak, ataupun dakwat mesin cetak sudah kehabisan stok. Sementara menanti bekalan dakwat baru, buku ini terpaksa masuk ke gudang PTS selepas PBAKL 2010 berlangsung iaitu pada bulan April. Walau bagaimanapun, saya berterima kasih kepada pasukan PTS Pro kerana berusaha menerbitkan buku ini walaupun mengundang banyak kontroversi. Alhamdulillah, syukur nikmat.


Cara kerja Cik Lia memang profesional walaupun beliau bukan pengurus PTS Profesional. Bayangkan manuskrip Arkitek Kampung Seberang yang setebal 380 muka surat sebelum diedit itu mampu diterbitkan dalam jangka masa satu bulan selepas dihantar dan diperbaiki. Sempat lagi masuk PBAKL 2010! Saya rasa mahu melompat sampai ke awan. Nasihat Cik Lia (nama sebenar. Nama samaran tertera pada kulit novel-novel beliau) memang saya pakai 120%. Terima kasih! Saya memang kagum dengan Cik Lia. Sungguh!
Dengan suara yang nyaring bak halilintar di langit (meskipun beliau sedang berbisik), Cik Lia mahukan saya hasilkan cerita lain lagi untuk PTS One/Syok! Siapa yang tidak syok apabila Jimi menghasilkan cover novel ala-ala stroke Moebius. Saya hampir-hampir berguling kegembiraan di atas lantai pejabat editorial sebaik sahaja terpandang cover novel ini. Mujur saya mampu mengawal sikap cool saya daripada melakukan aksi buruk itu. Satu tepukan buat Jimi!


Saya fikir, selepas Nazri a.k.a Vovin bertukar kerusi, beliau mahu berhibernasi. Rupanya-rupanya beliau terus merisik khabar. Idea asal Parameter Aquila adalah sebuah novel grafik. Memandangkan saya sendiri ketiadaan masa mahu melukis, maka saya tukarkan formatnya kepada novel. Novel ini siap pada November 2009 tetapi pada helaian pertama buku ini tertera nombor 2010. Mungkin supaya sejajar dengan waktu PTS Fortuna yang sudah mahu diperbadankan.
Sebaik sahaja saya menandatangani surat perjanjian serentak dengan waktu novel ini masuk setor, Nazri a.k.a Vovin hilang dari pandangan mata kasar. Dengar cerita jadi wanderer. Kini PTS Fortuna sebuah pasukan baru. Zaki Zainol yang mengedit Parameter Aquila juga sudah jadi editor pengurusan. Manakala Ainn Ngainon dan Syafiq, editor perolehan. Faizal Mukhtar yang separa kacak itu pula sebagai pengurus penerbitan. Bravo PTS Fortuna!


Working title
novel Gitar dan Lolipop ialah Tremolo-XY. Memandangkan tajuk itu langsung tidak mampu menambat hati pembeli jauh sekali pembaca, maka ia ditukar. Saya sungguh gembira dengan pertukaran itu. Waktu ini PTS One dibawah kelolaan Nazri a.k.a Vovin (2008). Beliau yang memperkenalkan logo kucing hitam di sudut kanan kulit buku ini sebelum beliau berpindah ke PTS Fortuna. Nampaknya, Alif Firdaus sungguh berhati-hati semasa mengedit buku ini. Tahniah Alif! Kini beliau sedang bertungkus lumus berenang dengan mengenakan sut tekanan tinggi sambil menyelam di jurang lautan baru bersama Hairi a.k.a Wanzu. Maju Komik M!


Semasa menulis cerita Sindrom VX, PTS Fortuna masih belum diperbadankan. Dengan sebab itu juga, PTS One dibawah seliaan Puan Norhazizam pada waktu itu (2007) menerbitkan novel Sai Fai + Fantasi ini. Kak Nor memang percayakan saya. Terima kasih, Kak Nor. Sindrom VX juga merupakan novel solo pertama saya.
Novel ini juga mengingatkan saya kepada Allahyarham Zafran a.k.a Panaharjuna. Sebaik sahaja saya menerima novel ini sebagai author's copy, kami berdua bertukar-tukar novel berdasarkan sistem barter. Di bahagian dalam novel beliau yang bertajuk Pendekar Merah Budiman, beliau memberi semangat supaya saya terus menulis. Beberapa hari kemudian saya mendapat panggilan daripada Alif Firdaus menyatakan yang Panaharjuna sudah tiada buat selama-lamanya.


Selepas menghadiri bengkel menulis novel kelolaan Puan Ainon (Pengerusi PTS yang popular dan dihormati), saya cuba jinak-jinakkan jari bagi menaip cerita. Disebabkan jari saya sudah disetkan memegang media seperti pensel, pen, berus, warna dan tablet, jadi agak kekok juga apabila terpaksa menekan keyboard sambil mencurah idea bercerita.
Maka, pada satu tarikh yang saya sendiri tidak ingat (yang pasti pada tahun 2006), saya dan Anne (Bukan nama sebenar. Nama sebenar beliau tertera pada kulit buku) singgah di kedai mamak bagi membincangkan perihal bagaimana mahu menulis cerita Kaki Bola. Beliau tersengih-sengih sambil mendengar saya bercerita dan dalam masa yang sama tangannya rancak menulis rangka cerita pada sekeping kertas. Selepas habis saya membebel, saya pun mengambil kertas yang dicatitnya untuk dikarang di rumah. Saya bersetuju taipkan cerita itu terlebih dahulu memandangkan otak kanan saya sudah penuh dengan taktik dan teknik berkenaan permainan bolasepak yang mesti diluahkan dengan secepat mungkin. Juga sebelum idea itu terbang ke tempat lain. Maklumlah, nostalgia menyarung jersi pasukan sekolah hingga ke peringkat negeri masih menghantui fikiran.
Anne memantapkan lagi jalan cerita itu selepas saya sendiri sudah kehabisan strategi. Beliau sendiri yang memilih untuk menamatkan ceritanya begitu. Saya pun bersetuju. Terima kasih Anne. Bila mahu hasilkan Kaki Bola 2? Apa? Esok?


Selepas menutup pintu pagar semasa mahu ke kedai, saya menerima panggilan telefon dari Anne. Beliau mahu saya siapkan komik setebal 120 muka surat dengan kadar segera. Saya mula garu kepala yang sedikit gatal akibat panahan cahaya matahari pukul 10.00 pagi. Sambil melintas jalan menuju ke kedai, saya cuba memerah otak mencari idea cerita. Alhamdulillah, idea itu mengalir deras. Selepas pulang dari kedai, saya terus capai kertas dan pensel. Dalam masa 20 hari saya berjaya siapkan komik Misi Aurora ala kartun Tintin ini beserta proses memasukkan gray tone dan dialognya.
Pada asalnya, Misi Aurora bukan produk Komik-M tetapi terbitan PTS One pada tahun 2006. Komik ini dan komik Orang Kuat karangan Alifstyle boleh dikatakan sebagai comics set-up project kepada PTS One sebelum Komik-M ditubuhkan. Lihat sahaja logo pada sebelah kanan bahagian atas cover.




S. Iskandar a.k.a Ubdertaker ialah seorang pakar patologi di Gribbles. Setiap hari kerjanya meneropong sel menerusi mikroskop elektron. Sebelum itu beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah di UPM dan menjadi ketua Jabatan Patologi di Hospital Kangar, Perlis.
Kami berdua pernah menghanguskan wang dan tenaga demi memuaskan perasaan sendiri semasa menghasilkan majalah komik alternatif suatu waktu dahulu. Beliau sememangnya kaki baca buku, lebih-lebih lagi media komik. Beliau banyak membantu saya dalam bidang ilmu komik dan pra-tonton filem. Thanks a lot, mate! May God bless you!
Waktu lapang, kami sering berlari di Bukit Komenwel sambil melakukan aktiviti parkour serta disiplin senaman lain. Beliau juga amat gemar berforum dan forum yang menjadi kegemaran beliau ialah pergh.com.
Novel Kutakluki Angkasa Roket Gabus terbitan PTS One tahun 2006 terhasil sebelum Dr. Sheikh Muszaphar ke Stesen Angkasa Antarabangsa buat pertama kalinya. Maafkan kami berdua kerana menerjah ke angkasa lepas sedikit lebih awal daripada pelepasan roket Soyuz.
Novel ini diterbitkan dalam bentuk trilogi. Siri kedua, Space Camp dan ketiga, Space-X dihasilkan pada tahun 2007 dan 2008.
Kini S. Iskandar sedang menyibukkan diri dalam proses menghasilkan novel fantasi solo sulung beliau. Sama-sama kita nantikan.










Sebelum memulakan projek melukis komik bagi novel separa komik bersiri Penyiasat Ekstrovert karangan Tuan Mohamad Kholid, saya juga menghasilkan komik bagi novel separa komik dengan Dr. Haslisa Ramli, Ashadi Zain, Ida Rizyani Tahir dan Mohammad Kayum Badaruddin dengan tajuk-tajuk Impian Harlina, Tekad Khalili, Azam Farid dan Askar Berjalan Kaki. Projek-projek pada tahun 2005 itu boleh dikatakan sebagai trial exam bagi saya dengan PTS One. Terima kasih kepada penulis-penulis yang saya sebutkan nama mereka sebentar tadi.
Berbalik kepada Tuan Mohamad Kholid Hamzah. Saya berpeluang bersua dengan beliau sebanyak dua kali sahaja. Pertama semasa menghadiri bengkel menulis kelolaan Puan Norhazizam pada tahun 2005 dan kali kedua semasa PBAKL 2007. Saya fikir aksi saya sudah dikira cool. Rupa-rupanya misai Tuan Mohamad Kholid lebih cool. Itu baru misai, belum lagi orangnya.
Tahniah saya ucapkan buat Tuan Mohamad Kholid kerana berjaya menghasilkan sepuluh siri Penyiasat Ekstrovert tanpa ragu-ragu. Terima kasih juga kerana percayakan kreadibiliti saya bagi menyelitkan 30% adegan-adegan komik di dalamnya. Terharu saya dibuatnya.