Jurang Laut Biruku

Selamat datang ke dasar laut biruku. Pastikan anda memakai sut ADS (Atmospheric Diving System) sebelum memulakan eksplorasi. Pastikan juga submersibles anda sudah diselenggara dengan baik. Ayuh kita menyelam!

Friday, April 9, 2010

Sinopsis Dan Ulasan.


Sinopsis:

Mat, Dol dan Din penduduk Kampung Seberang yang masih belajar. Melepak adalah kegemaran mereka. Tidak, bukan di pusat membeli-belah. Bukankah mereka budak kampung? Bagi memastikan aktiviti melepak mereka berjalan lancar tanpa gangguan, mereka membina rumah di atas pokok. Idea itu datang daripada Mat. Manakala Dol yang berpengalaman membina tandas bercat merah jambu adalah arkitek utamanya.

Azhar pula pelajar University Of Queensland yang pulang tanpa ijazah kerana hatinya terluka. Mereka bertemu. Bercerita berkenaan seni bina, bekerja sebagai penunggu durian dan pembina tandas penduduk kampung.

Tetapi di Kampung Seberang, bukan ada mereka sahaja. Adat di kampung, tentu ada golongan antagonis. Di sinilah Lan Tokak, Meli Boy dan Jan Jebeh berperanan.

Kisah di Kampung Seberang hanya kisah biasa. Kisah cita-cita, harapan, kehidupan dan keinsafan.

Petikan ulasan paling ringkas 'Arkitek Kampung Seberang' oleh saudara Wave Rider dari forum Pergh.com.

"Semangat kampung yang menyeronokkan. Bayangkan drama Melayu yang dilakonkan oleh Bagio Damasutra berjumpa dengan Achong Sweet Child. Kemudian anda semua mungkin mampu menggambarkan, (hahaha!) telatah kutu-kutu kampung. Novel oleh Nurie kita... ARKITEK KAMPUNG SEBERANG. Ada kelas! Ditambah lagi dengan watak-watak seperti Pak Noh Kilat (hahahahaha!), Pak Man Belon dan Meli Boy, protagonis kepada Mat, Dol dan Aza." - Wave Rider.

Petikan sinopsis dan ulasan novel Parameter Aquila (2009) dari blog Ain Ya Nun Alif.

"Ini kali keempat saya membaca buku jenis sains fiksyen. Dahulu, cubaan pertama, gagal (juga terbitan PTS). Kemudian saya mencuba Galaksi Muhsinin dan Transgenesis. Terkini, saya baru selesai membaca buku ini. Ternyata amat menarik minat saya!

Parameter Aquila mengisahkan sekumpulan anak-anak terbiar yang diambil oleh Tuan Goldox dan dijaga serta akhirnya diambil bekerja dengannya. Namun, mereka ini umpama keluar dari mulut buaya masuk ke mulut harimau. Tuan Goldox seorang yang gilakan kekayaan dan kerjanya mengarahkan kumpulan-kumpulan pekerjanya mencarigali emas.

M-Force yang dianggotai oleh Normen, Edvina, Shane dan Tansa ditugaskan untuk mencari emas di dasar lautan Aquila. Laut Aquila diketahui mempunyai jurang laut yang paling dalam. Pemilihan untuk mengetuai misi tersebut dilakukan secara undian oleh Tuan Goldox sendiri. Di antara 26 buah pasukan yang ada (A-Force sehingga Z-Force), kumpulan mereka yang terpilih.

Mahu tidak mahu mereka terpaksa mengikuti latihan simulasi dan mendapat taklimat akan penggunaan submersible. Kemudian, mereka akan menjalani latihan praktikal di Laut Pyxis. Sebuah makmal dibina khas bagi kemudahan mereka di laut dalam itu. 



xxxxxxx
xxxxxxxxxxxxxxx
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Apa yang diperkatakan oleh makhluk itu? Normen tidak mendedahkan perkara itu kerana bimbang diejek oleh rakan-rakannya. Ternyata, ketika dia mengambil keputusan menceritakannya kepada Edvina, dia diketawakan dan tidak dipercayai.

Setelah tamat latihan di Laut Pyxis, mereka ke medan sebenar di Laut Aqulia. Entah mengapa Tuan Goldox menghantar pasukan Z-Force bagi membantu mereka. Perkara ini menimbulkan kemarahan kumpulan M-Force. Seperti yang sering berlaku, apabila ada dua ketua maka berlakulah banyak masalah. Namun, mereka sebenarnya menghadapi masalah dengan ahli kumpulan Z-Force. Z-Force yang diketuai oleh Natalya hanya mempunyai 3 ahli pasukan. Dua orang lagi ialah Brat dan Egel.

Kelakuan Brat dan Egel agak ketara ganjil. Malah mereka sering mewujudkan provokasi dan menimbulkan kemarahan Normen. Sehinggalah satu hari terjadinya pergaduhan besar antara mereka semua. Rahsia besar M-Force ketika di Laut Pyxis terbongkar. Tidak disangka oleh ahli M-Force bahawa ada antara mereka yang membocorkan rahsia.

xxxxxxxxxx

xxxxxxxxxxxxxxxxxx
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Kedua ahli pasukan yang khianat itu hilang di dalam jurang yang dalam. Pasukan M-Force merahsiakan kejadian itu dan melarikan diri. Mereka diburu oleh pihak Tuan Goldox sehingga bersembunyi di sebuah rumah penduduk tempatan.

Tanpa disangka, tuan rumah yang mereka tumpangi itu ada kaitannya dengan Tuan Goldox. Anak perempuannya juga menyerupai wanita misteri yang dijumpai oleh Normen di dasar laut dahulu. Siapakah mereka sebenarnya?

Cerita ini saya gambarkan seperti cerita luar negara dengan pelbagai kelengkapan yang canggih. Plot ceritanya juga menunjukkan suasana yang cukup maju dan moden. Ceritanya menarik walaupun saya kurang gemar adanya cerita seperti bahagian Natalya dikhianati oleh dua orang ahli pasukannya. Syabas kepada penulis!" - AdH.

(Nota entri : Sebahagian ayat dalam review di atas terpaksa ditanda dengan xxxxxxxxx bagi mengelak spoil pada jalan cerita.)



Petikan sinopsis dan ulasan pertama novel Gitar & Lolipop (2008) dari blog klasik PTS-One

"Melihat kulit novelnya, sudah terbayang cerita anak muda yang gilakan muzik. Namun, apabila membaca tajuknya pula, pelbagai persoalan terbayang. Apa kaitan gitar dan lolipop? Selalunya gitar dikaitkan dengan lelaki, manakala lolipop dikaitkan dengan kanak-kanak ataupun perempuan.

Wujud suatu pertentangan di sini. Namun pertentangan ini digabungkan menjadi tajuk novel terbaru Nuriazam Ismail. Menariknya novel ini, ia menceritakan anak remaja yang bermain muzik tetapi pada masa sama terikat dengan tangungjawab sebagai pelajar dan keluarga.

Antara babak yang terkesan dalam hati saya, apabila watak utama mendengar lagu ciptaan sendiri dimainkan oleh kumpulan muzik terkenal. Sayangnya, lagu itu sebenarnya diplagiat tanpa izinnya. Jangan terkejut, cerita ini diakhiri dengan satu plot yang membuatkan anda termenung. Tidak tahu sama ada anda patut gembira ataupun sedih. Sesuatu yang jarang berlaku dalam penulisan moden. Anda patut rasai pengalaman membaca plot seperti ini.

Apa pula kaitannya dengan Lolipop? Cukuplah saya beritahu, selepas membaca novel ini, apabila saya terlihat budak perempuan makan gula-gula itu, pasti teringat Liz Lolipop.

Melihat pertembungan konflik dari cerita ini, novel ini boleh dianggap sebagai novel yang disenangi pembaca perempuan dan lelaki."

Petikan sinopsis dan ulasan kedua novel Gitar & Lolipop (2008) dari blog aininaufal.multiply.com.

"Ada satu perkara yang perlu difahami oleh pembaca novel ini. Bahawa pengarangnya adalah seorang pelukis dan mungkin pada masa yang sama adalah seorang pemuzik (bukannya artis!) Apabila membacanya, saya terus menangkap jiwa seni yang dimasukkan oleh penulis ini. Zuq membaca dan magnetnya terus menangkap saya untuk membaca dalam satu malam sahaja. Mungkin kerana asas muzik itu ada dalam jiwa saya, maka mudah untuk terperangkap secara sederhana meskipun belum betul-betul tenggelam.

Tema novel ini simple - muzik! Tapi interpretasi yang diberikan oleh penulis ini memang menarik. Bermula dengan Raimy atau Ray yang baru menjejakkan kaki ke bangku STPM tetapi mempunyai semangat dan iltizam yang tinggi untuk menjadi seorang pemuzik. Lantaran memerlukan sedikit duit, Raimy mencari kerja sebagai seorang guru muzik. Gagal yang pertama, bukan beerti gagal selamanya, itu yang cuba disampaikan oleh penulis hingga Raimy diterima masuk sebagai seorang tenaga pengajar di pusat muzik From Dusk Till Dawn (Macam nama filem Vampire?). Memang bukan mudah sebenarnya menjadi seorang guru muzik." - Ainin Naufal


Petikan sinopsis dan ulasan novel Sindrom VX (2007) dari blog Warisjagat.
"Saya baru sahaja selesai membaca buku sai fai terbitan PTS-One/Teen berjudul Sindrom VX. Saya rasa ini adalah karya sulung Nuriazam Ismail (Nurie buat sesiapa yang pernah baca Umbra pioneer seperti saya) kalau saya tidak silap. Jika benar ini adalah karya sulung beliau, maka saya secara rasminya cemburu dengan kehebatan Sindrom VX. Saya telah menjadi murung buat beberapa jam sebaik sahaja sampai ke bahagian pertengahan novel ini. Ya, Sindrom VX sehebat itu.
Sindrom VX mengisahkan wabak penyakit misteri (yang digelar Sindrom VX) yang menyerang penduduk wilayah Nuvia di Planet Kapri. Misteri timbul apabila para saintis gagal menemui punca kepada wabak ini serta sikap acuh tak acuh pihak pentabiran Nuvia mengatasi wabak ini. Apabila mendapat tahu yang serum untuk merawat Sindrom VX boleh diperolehi di sebuah planet misteri bernama Gonea, Ariana dan Eugenie (seekor robot humanoid) menjalankan misteri rahsia ke Planet Gonea. Dalam perjalanan ke Planet Gonea mereka berdua bertemu dengan Rizo dan Harry yang kemudiannya turut serta bersama mereka meneruskan misi ke Gonea.
Sindrom VX ialah sebuah sai fai action adventure, yang mempunyai adegan aksi paling panjang dan tidak henti-henti pernah saya baca. Cerita diselangi dengan interaksi antara karakter yang menarik serta lucu dengan bahasa yang mudah. Diselit juga subplot berkenaan penduduk Nuvia dan karakter-karakter lain. Subplot tentang Eugenie dan Rob antara yang menghiburkan saya. Semuanya seperti sebuah filem sai fai 60-an yang cheesy (in a good way).
Kekuatan Sindrom VX ialah pada perkembangan karakter terutamanya Rizo. Selain itu, elemen sai fai yang disertai adegan aksi dan tidak lupa konspirasi juga membuat Sindrom VX sangat kuat dan solid. Saya ucapkan tahniah kepada saudara Nuriazam Ismail kerana percubaan yang benar-benar berjaya memecahkan otak saya. Hal ini membuatkan saya benar-benar sakit hati!" - Warisjagat.



Petikan sinopsis dan ulasan komik Misi Aurora (2006) dari blog Kubu Buku oleh Fadli Akiti.

Sinopsis:

Kehilangan cip berkeupayaan tinggi Fotonoid F-69 menggemparkan seluruh seksyen S-28. Dr. Fernandez yang merupakan pencipta cip itu, dituduh mencuri. Keadaan bertambah kelam-kabut apabila cip yang hilang itu musnah dan tenaganya berpindah kepada bayi dalam kandungan isteri Dr. Fernandez, Vanessa. Sebaik sahaja bayi itu dilahirkan, bayi itu kemudiannya diculik dan dibawa lari ke Planet Geitan yang dihuni oleh makhluk mutant. Adenal dan Jason membantu Nicol mencari semula adiknya itu.

Rasa:

"Saya terhibur membaca buku kecil komik ini, hasil nukilan dan lakar Nuriazam Ismail. Tercuit membaca buku yang walaupun klise tajuknya (misi-misi-misi sudah biasa dalam genre sci-fi Melayu). Paling baik, Nuriazam mempunyai cara yang baik mengaitkan satu adegan dengan satu adegan yang lain, bagaimana persoalan dirungkai dan bagaimana akhirnya Nicol dapat mengembalikan adiknya pada ibunya.
Penuh saspens dan keseronokan, walaupun mungkin agak terus-terang dalam memaparkan, yang jahat selalunya berbentuk makhluk asing dan pelik (biasa dalam komik-komik superheroes, seperti puak jahat Joker, Penguin, Dr. Doom, Scarecrow, Magog dan pelbagai). Ada beberapa babak yang dibiarkan "terabai" (bayi itu dipanggil bayi aurora, bagaimana Zoid boleh kerja di Hangar dan tidak diketahui orang dalam makmal nuklear S-28), tetapi mungkin supaya buku komik ini dapat disambungkan pada masa hadapan.

Satu cerita sci-fi yang ada perbaharuan. Walaupun dialognya kadang-kadang agak terbuat-buat, mempunyai gaya dan keseronokan 'menjadi kanak-kanak kembali' yang tersendiri." - Fadli Al-Akiti.



Gambar dicilok dari blog klasik PTS-0ne : Serbegeth 'Shebby' Singh, jurulatih pasukan bolasepak My Team dengan novel Kaki Bola.


Sinopsis Kaki Bola (2006). Dipetik dari Portal PTS.

Danish, pelajar tingkatan satu yang berbadan agak gempal. Minatnya yang terlalu mendalam dalam sukan bolasepak menyebabkan dia begitu fanatik berkenaan sukan itu, apatah lagi pada idolanya, Bady. Danish mempunyai kepandaian bagi mencipta skill dan strategi dalam satu-satu perlawanan. Malangnya, dia tidak pandai bermain bolasepak sehingga dia digelar kaki bangku. Namun begitu, bermula selepas dia tinggal di asrama, dia mendapat galakan daripada teman-teman sehingga akhirnya dia berjaya membuktikan yang cita-citanya selama ini bukanlah angan-angan.